Home | Sitemap | Contact Us | Login      
Loading
   

National Pharmacy News

Title: K'jaan digesa segera kawal harga ubat
Date: 08-Mar-2017
Category: Malaysia Kini

Kerajaan perlu segera melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan, kata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Pesuruhjayanya, Prof Datuk Dr Sothi Rachagan berkata pada masa ini jurang harga antara sektor kerajaan dan swasta adalah luas berbeza dan harga adalah lebih tinggi daripada Harga Rujukan Antarabangsa (IRP).

"Harga ubat-ubatan yang dibeli oleh kerajaan adalah 1.3 kali lebih tinggi daripada IRP sementara bagi sektor swasta, harganya 2.9 kali lebih tinggi," kata beliau kepada Bernama semasa Persidangan Persaingan Malaysia di ibunegara semalam.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Nilai melalui pelaksanaan kawalan harga ke atas ubat-ubatan, perbelanjaan Kementerian Kesihatan boleh dikurangkan kerana pembelian ubat-ubatan meliputi sebahagian besar daripada jumlah perbelanjaan bagi penjagaan kesihatan.

"Pada 2010, perbelanjaan tersebut mencecah sejumlah RM1.61 bilion dan menjelang 2013, ia mencatatkan RM2.2 bilion. Perbelanjaan itu meningkat setiap tahun," katanya dengan memetik laporan Ketua Pengarah Kesihatan.

Pada 18 Februari 2015, MyCC telah mengeluarkan Amalan Pengedaran Farmaseutikal Baik yang menetapkan lima perkara termasuk harga standard dan skim bonus yang terpakai kepada semua saluran dan penyedia penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, garis panduan itu tidak memberi kesan mandatori ke atas kawalan harga bagi ubat-ubatan.

Sothi Rachagan berkata jika kerajaan melaksanakan IRP, dan menguatkuasakan Akta Farmasi yang kini di peringkat akhir, ia dapat mengurangkan harga ubat-ubatan.

"Kebanyakan negara membangun mempunyai beberapa bentuk kawalan harga ke atas ubat-ubatan, tetapi Malaysia tidak mempunyainya. Ini penting kerana ia membolehkan rakyat mendapat akses kepada ubat-ubatan yang murah lagi berkualiti," katanya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan persidangan dua hari itu yang bermula kelmarin.

 

 

 

 



[ Back ] [ Print Friendly ]





Copyright © 2002 - 2017 Malaysian Pharmaceutical Society. All Rights Reserved.   Web Management

Powered by CORNERSTONE CONTENT MANAGEMENT SYSTEM